Wednesday 8 February 2012

1. Mesej Hantu

Bunyi mesej masuk melalui telefon menarik perhatian Kamalia. Tercari-cari dia letak telefon tersebut. Bunyi yang nyaring keluar dari rumpun jambangan bunga di sudut ruang tamu rumah Mak Kamalia. Rupa-rupanya telefon sedang dicas di soket berhampiran dengan jambangan bunga besar di sudut rumah.

Kamalia mengambil telefon tersebut, telefon suaminya. Kamalia membuka mesej lalu membaca mesej yang masuk. Pertama kali dia membaca mesej dalam telefon suaminya. Memang selama ini dia tidak pernah membaca atau mengangkat telefon suami. Tidak peduli dia apa isi mesej atau siapa yang menelefonnya. Tiada masa dia untuk mengambil tahu semua itu.

Berderau darahnya membaca isi mesej tersebut, “Abang sedang buat apa, tanda kertas ke?” Panggilan ‘Abang’ itu benar-benar menyentuh hati nuraninya. Tiba-tiba hatinya jadi sangat tersinggung dan sedih sekali.

Memang Kamalia tidak memanggil suaminya ‘Abang’ kerana dari awal perkahwinan dulu tidak dibiasakan, malah ketika Kamalia bertanya adakah suaminya mahu dia memanggilnya ‘Abang’, panggilan wajib bagi pasangan Melayu selepas berkahwin, suaminya Faizul hanya tersengih. Tidak mengiakannya. Perkenalan mereka selama hampir lima tahun yang bermula sebagai kawan menyebabkan panggilan nama lebih akrab. Cuma selepas mendapat anak pertama, panggilan berubah menjadi ‘Ayah’ dan ‘Mama’.

Tiba-tiba, ada insan lain, yang Kamalia amat pasti seorang perempuan, walaupun nama disimpan sebagai Isa, yang memanggil suaminya `Abang’, terasa semacam pelik. Mesej ini benar-benar membuatkan fikirannya terganggu. Seribu satu macam persoalan bermain dimindanya. Keceriaan hari raya mula hilang serinya. Betul-betul terganggu.

“Kenapa, rindu ke?” Kamalia cuba membalas mesej tersebut.

“Tak adalah, saja je, boring kat kampung, tak sabar nak balik semula ke kampus,” balas empunya telefon tersebut. Oh, sama tempat kerja dengan suaminya, kata hati Kamalia.

“Sabarlah, bukan lama pun, lusa Abang dah balik ke kampus.” Kamalia terus membalas mesej tersebut, mewakili suaminya.

“Ok, nanti jumpa,” jawab pemilik telefon itu lagi.

Hati Kamalia berubah jadi berdebar-debar dan sangat sakit sekali. Tidak sabar dia jadinya. Kamalia terus mendail nombor telefon tersebut dengan menggunakan telefon suaminya. Ada yang mengangkatnya. Debaran jantung Kamalia semakin kencang. Nafasnya juga jadi sesak.

“Hallo, asalamualaikum, nak bercakap dengan Noni ke?” Kedengaran suara perempuan yang mengangkat telefon bertanya.

“Waalaikumusalam. Ya, dia ada ke?” Kamalia hanya mengiakan sahaja. Dia hampir tidak dapat berkata-kata mendengar suara tersebut. Nasib baik bukan si tuan telefon yang bernama Noni itu yang bercakap. Kalau perempuan itu yang bercakap, mungkin dia akan terkedu dan hilang kata-kata, atau mungkin dia tidak dapat mengawal perasaannya.

“Noni sedang mandi, nanti telefon lagi lah ye,” maklum perempuan itu lagi. Jam baru menunjukkan pukul 10 pagi di hari raya Aidil Fitri ke 2 tahun 2003, baru mandi pagi, tidak berhari raya ke perempuan ini, Kamalia bermonolog sendiri.

“Oh…ini sapa ye?” Tanya Kamalia untuk mendapatkan maklumat mengenai Noni.

“Mak dia. Ini kawan Noni di UPM ke?” Mak Noni mula beramah mesra dengan Kamalia.

“Kawan Noni, tapi bukan UPM. Dah lama tak jumpa dia. Oh sekarang dia di UPM buat apa?” Kamalia meneruskan investigasinya, setelah melihat keramahan Mak si Noni.
Terpaksalah berbohong sedikit, baru dapat informasi lebih.

“Sambung belajar, buat masternya.” Mak Noni menjelaskan dengan bersungguh-sungguh.

Kamalia pasti kini, Noni adalah pelajar bimbingan suaminya, yang bekerja sebagai pensyarah di universiti ini. Tapi suaminya masih bercuti untuk menyiapkan PhDnya, macamana pula dia menjadi pembimbing atau supervisor kepada si Noni.

“Oh…sekarang ni dia sedang bercuti raya lah ya Mak Cik, berapa hari dia cuti, bila nak balik UPM semula?” Kamalia belum puas hati jika tidak mendapat jawapan yang tuntas mengenai permasalahan yang baru timbul ini.

“Ye la sedang cuti dia, besok dia dah nak balik semula ke sana,” jelas Mak Noni lagi.

Lama juga Kamalia berbual-bual dengan Mak si Noni. Darinya Kamalia tahu nama kampung perempuan ini di utara Kedah sana. Oh, orang Kedah, di pedalaman sekali tempat tinggalnya. Adakah budak perempuan ini mahu mengambil kesempatan untuk hidup senang dengan mudah. Maklum, suaminya sudah stabil dengan kerjaya dan kereta yang mewah, tiga buah rumah pada usia 36 tahun, bukan semua orang mampu memiliki apa yang mereka miliki. Memang amat terserlah. Memang bukan usaha Faizul seorang, Kamalia banyak membantu dengan menjalankan pelbagai perniagaan di samping menjalankan tugasnya sebagai seorang pendidik. Kamalia membuka butik dan salun. Dia juga terlibat dalam jualan langsung, menjual batik-batik sutera dari Kelantan, Terengganu dan Indonesia. Bukan senang untuk memiliki apa yang dimiliki sekarang. Banyak masa, tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan.

Tujuan Kamalia bertungkus-lumus menjalankan perniagaan juga untuk membantu keluarga mereka, termasuklah keluarga Faizul yang sangat dhaif, terutama ayahnya yang masih tidak ada rumah sendiri walaupun usia sudah senja. Mak Kamalia juga perlukan bantuan kerana adiknya sakit. Maknya sudah pencen, tidak cukup untuk menyara hidup keluarga mereka.

Hasil kerja tungkus lumus dan sokongan Faizul, akhirnya mereka mampu membeli rumah. Cuma malangnya, belum sempat mereka menghadiahkan rumah kepada bapa Faizul, beliau lebih dahulu pulang ke rahmatullah. Al-Fatihah untuk arwah.

Ramai kawan-kawan Faizul yang menyuarakan tentang harta yang mereka miliki, apakah maksud mereka tidaklah Kamalia tahu, Cuma Nasril, kawan suaminya pernah mengungkapkan hal ini ketika mengunjungi rumah mereka.

“Hebatlah Kak Lia dan Abang Faizul, dapat memiliki tiga buah rumah, tiga buah kereta pada umur muda segini,” puji Nasril, pelajar master dan juga tutor di jabatan yang sama dengan suaminya. Apakah Nasril ini juga yang jadi batu api kepada isu ini. Ketika suaminya memperkenalkan Nasril kepadanya tempohari, Kamalia tidak menyenangi lelaki ini. Nampak ada sesuatu yang tidak kena.

Kamalia hairan, macamana Faizul boleh kenal rapat dengan lelaki yang pada pandangan Kamalia tidak berhemah ini. Baru pertama kali kenal dah bercerita tentang ibunya yang `queen-control’ menyebabkan ayahnya macam kura-kura, tidak berani angkat kepala melawan ibunya. Ditambah lagi dengan cerita dia dengan teman wanitanya yang sangat takut dengannya. Hanya mengikut sahaja kata-katanya. Kalau menjawab, dia akan pukul atau penampar. Amboi, baru bercinta dan bertunang dah berani tampar dan pukul, macamana kalau dah berkahwin nanti agaknya, tanya Kamalia di dalam hati.

Kamalia hanya beristighfar mendengar cerita yang banyak mempunyai nilai-nilai negatif. Kamalia hanya menjeling memandang suaminya, ketika Nasril bercerita mengenai hal ini. Suaminya hanya tersengih. Tidak tahu apa maksudnya. Apakah dia sedang menyindir Kamalia yang mungkin dianggap `queen-control’ kerana Faizul lebih banyak di rumah dan sesuai perjanjian akan balik ke rumah sebelum Maghrib dan sebelum jam 12 malam sudah berada di rumah. Tidak ada istilah `enjoy’ di luar rumah atau minum-minum, berbual kosong membuang masa di restoran mamak. Keluar hanya untuk bekerja, ke surau, masjid, majlis ilmu, bersiar-siar bersama-sama keluarga atau menghadiri majlis keluarga dan kawan-kawan. Sesuai dengan apa yang digariskan dalam keluarga Islam juga. Itu janji mereka dari sebelum kahwin lagi. Rasanya tiada masalah jika diikuti dengan betul.

Namun, beberapa bulan terakhir ini, kesibukan Kamalia menguruskan perniagaannya menyebabkan dia tidak sempat memerhatikan Faizul. Kamalia tidak sedar perubahan Faizul, hinggalah Mak Kamalia menyuarakan hal ini ketika beliau berkunjung ke rumahnya tempohari.

“Nampak lain macam je suami awak tu sekarang,” Mak Shah menyuarakan apa yang terdetik di hati seorang perempuan yang sudah banyak asam garam dalam hidup.

“Lain macamana tu Mak?” Kamalia mula tertarik dengan kata-kata ibunya.

“Rajin pergi kerja, pagi-pagi lagi sudah keluar kerja, smart pulak tu, minyak wangi semerbak satu rumah baunya,” jelas Mak Shah sambil tersenyum. Akhirnya Mak Shah melahirkan juga apa yang terpendam sejak seminggu dia di rumah anaknya ini. Selama ini dia hanya memerhati perubahan menantunya yang sangat dikenali dan disayangi itu.

“Hati-hatilah, tengok-tengok juga suami tu, jangan lepas tangan, harapkan pembantu rumah je,” pesan Mak Shah kepada satu-satunya anak perempuan kesayangannya itu.

Kamalia ambil positif teguran ibunya. Dia mula memberi perhatian kepada kata-kata ibunya tentang perubahan suaminya. Apa yang dikatakan ibunya ada benarnya. Kalau dulu Faizul memang liat nak bangun pagi dan pergi kerja, terutama ketika tempoh cuti belajarnya. Dia lebih banyak menghabiskan masa di rumah dengan tidur atau bermain dengan anak-anaknya yang tiga orang itu. Kamalia mula perasan Faizul tidak lagi meletakkan telefonnya merata-rata seperti dahulu. Apakah benar Faizul sudah berubah? Atau ada yang tidak kena dengan Faizul seperti kata ibunya? Kamalia mula rasa curiga. Ibunya pasti punya firasat tentang hal ini.

Mak Shah memang rapat dan sangat sayangkan menantunya yang sangat baik ini. Mak Shah lebih sayangkan Faizul berbanding Kamalia, itulah yang Kamalia rasakan. Setiap kali musim durian, Mak Shah akan beli durian yang terbaik bila tahu mereka akan balik. Mak Shah tahu Faizul sangat sukakan durian. Mak Shah juga akan memasak macam-macam lauk yang digemari menantunya itu.

Walaupun pada awalnya dulu, dia tidak berapa berkenan dengan Faizul kerana latar belakang keluarganya yang tidak berapa baik. Bapanya yang suka kahwin cerai. Begitu juga dengan abang-abangnya. Ada juga abangnya yang tidak kahwin cerai tetapi suka main perempuan, kondom selalu tersimpan banyak di dalam begnya. Kakaknya juga kahwin suami orang dan dikontrolnya macam miliknya seorang. Beberapa orang sepupu sebelah bapanya juga begitu. Jalin hubungan sulit dengan perempuan Indonesia dan pembantu kerja mereka orang kemboja. Harapan Kamalia, Faizul tidak begitu. Mudah-mudahan sikap bapa, abang-abang dan saudara-saudaranya dijadikan sempadan kerana Faizul mempunyai pendidikan yang tinggi, boleh berfikiran dengan lebih waras dalam bertindak.

Kamalia berusaha keras menyakinkan Mak Shah dan keluarganya, beserta dengan kemampuan Faizul sendiri menunjukkan nilai-nilai positif ketika bersama keluarga Kamalia, akhirnya dia diterima dengan baik. Kamalia lega melihat perkembangan baik ini. Akhirnya Kamalia rasa berbaloi dia memilih Faizul dan melepaskan Ariff ketika membuat keputusan tersebut pada tahun 1992 dahulu. Kamalia menolak pinangan Ariff kerana terpaksa mengikut Ariff bertugas ke luar negara. Sedangkan masa itu ibunya sangat memerlukan dia menemaninya, yang baru kehilangan anak kesayangannya, kakak Kamalia. Adiknya juga sedang sakit. Mak Shah sangat-sangat memerlukan Kamalia di sisinya ketika itu. Hanya Faizul yang dapat menyelamatkan keadaan. Tambahan pula Kamalia sudah mengenali Faizul lebih dari empat tahun. Sudah kenal rapat.

Mereka hidup bahagia sekali sepanjang tempoh sepuluh tahun perkahwinan mereka. Kurniaan Allah seorang puteri dan tiga orang putera menambahkan lagi serinya kehidupan mereka. Mudah-mudahan bahtera mereka tidak akan diganggu-gugat oleh badai samudera. Doa Kamalia selalu. Amin. Tapi, adakah mesej yang baru dibaca ini akan menjadi badai dalam rumah tangganya, tanya hati Kamalia. Janganlah….nauzubillah.
Kamalia meletakkan telefon dengan rasa curiga yang semakin menebal. Tidak sanggup untuk menghadapi segala kemungkinan yang berkaitan dengan masalah seperti ini. Takkan suaminya sama macam bapa dan abang-abangnya. Tak mungkin masalah seperti ini menjadi penyakit keturunan. Tak kan lah dalam setandan kelapa tidak ada yang baik, semuanya busuk ke? Pertanyaan demi pertanyaan bermain di mindanya. Curiga, semakin curiga dia. Cukuplah apa yang ditanggung oleh ahli keluarga terdekatnya, menderita kerana masalah ini.

Kamalia tahu, dari segi pendapatan, Faizul tidak layak untuk kahwin lebih dari satu. Tidak sampai RM6000 pendapatannya sebulan. Tidak mampu untuk menyara dua keluarga. Lagipun mereka sudah berjanji, jika Faizul jumpa orang lain yang lebih baik darinya, Kamalia minta Faizul berterus terang, jangan membina hubungan lain selama Kamalia bergelar isterinya. Kamalia tidak mahu berkongsi kasih. Kamalia tahu dia bukan wanita solehah yang boleh menerima semua itu dengan hati terbuka dan hidup tanpa dosa. Kamalia takut nantinya, payung emas yang dijanjikan malah neraka pula tempatnya, kerana tiada redha di hati, hanya terpaksa pasrah dengan keadaan. Kalaulah betul hati sudah kering dengan kasih sayang, apalah artinya lagi sebuah ikatan suami isteri. Tidak perlu berpura-pura soal hati dan kebahagiaan. Kamalia juga membenarkan Faizul kahwin lain sekiranya Kamalia tidak boleh memberi zuriat atau tidak boleh memberikan kebahagiaan kepadanya. Itu janji mereka dulu.

Faizul keluar dari bilik air. Hati Kamalia berdegup kencang. Rasa sayang seluruh jiwa raga selama ini tiba-tiba terasa kosong. Kenapa semua ini berlaku di saat mereka dalam suasana bahagia dan gembira di hari raya? Kamalia menarik dan menghembus nafas berulangkali supaya hatinya tenang. Tidak mahu Faizul sedar dia dalam curiga dan tidak tenteram.

“Mana telefon kat sini?” Tanya Faizul kepada Kamalia. Kamalia hanya mengangkat bahu dan berlalu ke dapur. Tidak sanggup bertentang mata dalam kepura-puraan. Tidak pernah berdusta dia sebelum ini. Rasa bersalah pun ada. Kamalia cuba keraskan hatinya.

“Mum, mana telefon kat sini?” Faizul ulang tanya kepada Kamalia. Kamalia berlalu tanpa pedulikan soalan Faizul. Kedengaran Faizul memanggil anak-anaknya bertanyakan hal telefonnya. Anak-anak semuanya menjawab tidak tahu. Kamalia menjenguk keluar, melihat Faizul dengan wajah kesalnya sedang mencari-cari telefon. Kamalia keluar, berpura-pura mencari telefon tersebut.

“Kena curilah tu agaknya, tadikan ramai yang keluar masuk beraya kat sini,” kata Kamalia membuat rumusan. Faizul diam, duduk dengan kesal. Nampak percaya dengan andaian yang Kamalia buat kerana dia tahu Kamalia tidak pernah ambil tahu tentang telefonnya. Dia juga tahu Kamalia tidak pernah berbohong selama ini. Kamalia pula rasa bersalah kerana menuduh orang lain mencuri. Huh…terpaksa.

Kamalia lega melihat Faizul boleh menerima hakikat telefonnya hilang. Namun tergambar jelas di wajahnya rasa tidak puas hati. Maklumlah, telefon sangat penting baginya, apalagi kalau benar dia sedang di lamun cinta dengan si Noni. Pasti seperti tidak bernyawa dia rasanya. Macam kucing kehilangan anak.

Kamalia sibuk menyiapkan anak-anak, mandi dan berpakaian malam. Kamalia dapati Faizul tiada di ruang tamu. Ke mana dia pergi? Kamalia punya instink, Faizul ke pondok telefon. Walaupun rumah Maknya ada telefon, tetapi kenapa Faizul tidak menggunakan telefon rumah saja? Pasti ada yang disembunyikan. Kamalia menghidupkan enjin kereta. Betul, Faizul sedang menelefon menggunakan telefon awam yang letaknya beberapa meter dari rumah Mak Kamalia. Dia telah meletakkan gagang telefon dan berjalan perlahan ke rumah. Kamalia mengekorinya dari belakang. Dia memberhentikan kereta, meminta Faizul masuk ke kereta.

“You telefon ke mana, kenapa tidak menggunakan telefon rumah Mak je?” Tanya Kamalia. Faizul tidak manjawab. Kamalia merenung ke muka Faizul. Dia mengelak dari bertentangan mata dengan Kamalia. Kamalia mengulangi pertanyaannya dengan suara yang lebih kuat. Sudah jadi kurang ajar dia disebabkan rasa geram dan kesalnya.

“Telefon kawan, tanya pasal kuliah, bila mula,” jawabnya perlahan.

“Tak kan lah you tak tau bila kuliah bermula, kan dah ada jadual sebelum mula cuti?” Kamalia mula rasa dirinya dibohongi, diperbudak-budakkan.

“You telefon siapa sebenarnya? Kan kita dah janji tak ada rahsia antara kita, apalagi kalau berkaitan dengan hubungan kita, kan dah janji kalau you tak suka dengan I lagi you kena cakap dengan I. Jangan mulakan sebarang hubungan dengan orang lain kecuali selepas kita sudah tiada hubungan lagi.” Kamalia mula tidak dapat menahan sabarnya. Emosi amarahnya mula terpancing. Faizul diam membisu. Mata terkebil-kebil.

“You telefon budak Noni tu kan?” Tanya Kamalia, menguji Faizul.

Faizul terkejut memandang ke arah Kamalia, “tak adalah, budak tu student master Prof. Aidil.”

“Kalau dia student Prof. Aidil, kenapa you yang rapat dengan dia?” Kamalia tidak berpuas hati dengan jawapan suaminya.

“Ada ambil kuliah sama dengan dia. Dia banyak tolong cari bahan untuk tesis I.” Faizul menjelaskan tanpa memandang Kamalia.

“So apa hubungan you dengan dia sebenarnya,” tanya Kamalia lagi.

“Hubungan simbiosis, saling memerlukan satu sama lain. Dia banyak tolong I. Kalau dia tak tolong tak tahulah apa jadi dengan tesis I,” jawab Faizul. Hati Kamalia sangat terguris mendengar jawapan Faizul, walaupun dia tidak pasti maksud sebenar kata-kata itu. Sebagai isteri, bila Sang suami mula melihat pertolongan perempuan lain sebegitu pentingnya, amatlah melukakan hatinya yang telah sama-sama bersusah payah dalam memulakan kehidupan bersama sepuluh tahun dahulu. Malah Faizul tidak memiliki apa-apapun ketika itu, tiada kerja tetap dan tiada duit pun. Sangat susah dia. Ketika itu mereka sama-sama mencari kehidupan. Mas kahwin pun hutang. Mahu membeli motor pun pinjam duit Kamalia. Tidak pernah Kamalia ungkitkan. Sangat berkecil hati Kamalia dengan apa yang Faizul lakukan.

“Apa perasaan you pada dia?” Kamalia masih boleh menahan rasa sebak di dadanya.

“Tak ada apa. Hubungan pensyarah dengan student la,” akui Faizul.

“Tapi dia bukan student you, kenapa you sibuk menolong dia?” balas Kamalia.

“Prof suruh I tolong tengokkan dia. Prof sibuk.” Faizul menjawab polos, walaupun nadanya menggigil seperti menahan perasaan gementar. Maklum, sudah ‘terkantoi’ permainan kayu tiganya.

“Habis tu, you tak sibuk ke?” Faizul diam.

“Rasanya you lagi sibuk, mana tesis you yang tidak bergerak-gerak, ada Prof tu peduli, dok sibuk hal dia, walaupun dia supervisor you, malah dipaksa you buat macam-macam artikel dan paper seminar untuk dia. You terus je jadi babu dia, semua kawan-kawan you dok kutuk you tak sedar. Yang dapat nama dia. Tempoh cuti belajar you dah hampir tamat, tapi hasilnya belum nampak. Apa dia boleh bagi biasiswa pribadi untuk sponsor PhD you, kalau biasiswa dah dihentikan? Dia bukannya ada famili, jaga keluarga sendiri pun tidak mampu, isteri dan anak-anaknya pun dah balik New Zealand, tinggalkan dia kat sini. Islam isteri dan anak-anaknya juga tidak jelas. Itu yang you nak jadikan dia idola. Dia nak rosakkan you supaya you jadi macam dia, you tidak sedar ke?” Panjang lebar Kamalia berhujah meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini.

“Mana ada, Prof tidak macam tu,” balas Faizul membela Prof. Aidil.

“Apa tidaknya, kalau dia baik, dia tidak akan serahkan budak perempuan tu untuk bersama-sama you, bukan tanggungjawab you, diakan tau you sedang cuti belajar, sedang sibuk dengan tesis sendiri.” Kamalia merendahkan suaranya. Faizul terdiam lagi.

Sebelum ini Faizul selalu mengadu tentang Prof. Aidil, penyelianya yang selalu mengarahkan dia menyiapkan kertas kerja seminar dan menghantarnya ke sana sini, jadi pemandu. Malah, Faizul pernah mengeluarkan air mata kecil hatinya, mengadu kepada Kamalia, ketika Prof. Aidil memalukannya, memperlekehkannya di depan kawan pensyarahnya yang lain sewaktu menghadiri program untuk television. Faizul selalu juga mengadu tentang etika, sikap dan pegangan agama Prof. Aidil yang sangat minima. Kelihatannya sangat liberal dia dalam soal agama dan sosial. Solatnya yang nampak hanyalah pada hari Jumaat. Bilik kerjanya selalu dihuni siswi cantik, yang kononnya pelajar yang diselianya menggunakan kemudahan di biliknya. Kamalia sangat tidak setuju dalam hal ini. Ini boleh mendorong Faizul melakukan hal yang sama kerana terbiasa atau terpaksa. Apalagi dengan bekalan agama yang sedikit dalam diri Faizul, amat membimbangkan Kamalia selama ini. Apakah ini petanda kebimbangan Kamalia selama ini mula menunjukkan kebenarannya.
Kegusaran Kamalia seMakin memuncak.

Nor Aizan Ab.Halim, Bandar Baru Bangi, 6.2.2012